Panduan hadapi karenah mentua

Soalan:
APAKAH yang patut dibuat oleh seorang menantu lelaki yang tidak disukai oleh bapa mertuanya apabila beliau telah dilarang dari pergi ke rumah bapa mertuanya?

Jawapan:

Pepatah Arab ada menyebut yang bermaksud: “Buatlah baik kepada manusia nescaya kamu dapat mengabdikan hati mereka.” Saya ingin menyarankan kepada saudara agar terus berbuat baik kepada bapa mertua saudara. Batu yang keras pun kalau dititis air, lama kelamaan pasti akan ada kesannya. Saya kurang pasti sebab atau kenapa bapa mertua saudara begitu memarahi saudara.

Saudara bertanggungjawab mencari punca agar punca itu dapat diubati. Kalau salah di pihak saudara, saudara wajib meminta maaf terhadap kesalahan atau keterlanjuran yang menyebabkan bapa mertua terkilan sehingga ke hari ini.

Apa sahaja alasan yang saudara berikan kita sebagai anak tidak terlepas dari salah dan silap, jangan mencari kesalahan orang tua terhadap kita tapi carilah kesalahan kita terhadap mereka. Sebagai anak wajib mentaati kedua orang tua kita dan kedua-dua orang tua isteri kita.

Mentaati ibu bapa wajib selagi mana mereka tidak menyuruh kita perkara yang bertentangan dengan syariah Allah swt. Suatu perkara yang sudah hilang dari generasi hari ini ialah mencari jalan dan melakukan perkara yang disukai oleh orang tua.

Jangan berputus asa atas apa yang terjadi teruskan usaha tanpa jemu. Ada senjata yang paling mujarab dalam hal ini, iaitu saudara perbanyakkan doa, mohon Allah swt melembutkan hati dan perasaan bapa mertua saudara dan menerima saudara sebagai ahli keluarganya.

Saya juga yakin marah dia hanya di lisan sahaja bukan dari hati sanubarinya. Mesti di lubuk hati mertua saudara tetap menyayangi saudara.

Ziarah orang tua serta mengambil tahu keadaan mereka adalah sangat dituntut oleh Islam. Reda kedua orang tua menjadi penentu keredaan Allah swt. Lebih-lebih lagi di hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, walaupun kita tidak perlu tunggu hari-hari kebesaran Islam untuk meminta maaf atas kesalahan.

Allah swt menyuruh kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa, ini jelas dalam al-Quran firman Allah swt yang bermaksud:” Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.”(al-Baqarah: 83)

Dalam ayat yang lain: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa‚Ķ” (al-Nisa’:36)

Dalam ayat lain: ” Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri; (al-An’am:151)

Di dalam surah al-Isra’, firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (al-Isra’:23)

Jika kita perhatikan kesemua ayat-ayat di atas kita akan dapati bahawa Allah swt memerintahkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka.

Berbuat baik kepada ibu bapa tiada batas hadnya. Buatlah sebanyak mana yang boleh asalkan hati dan perasaan ibu bapa tidak terkilan, malahan gembira kerana memiliki anak yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia.

Dalam meneliti selok-belok dan rentak ayat-ayat di atas, dapatlah difahami bahawa selepas perintah menyembah Allah swt dengan tidak mensyirikkannya dengan sesuatu apa pun. Maka datang perintah seiring dengannya dari sudut kewajipan, itulah perintah mentaati kedua ibu bapa.

Boleh juga disimpulkan bahawa mentaati perintah Allah mesti seiring dengan mentaati kedua ibu bapa dan tiada ertinya mentaati Allah swt tanpa mentaati kedua ibu bapa.

Adapun orang yang mentaati Allah swt dalam masa yang sama tidak mentaati kedua ibu bapa pada hakikatnya dia sama sekali tidak mentaati Allah swt. Ini kerana Allah swt yang menyuruh manusia mentaati kedua ibu bapa dalam al-Quran beberapa kali supaya manusia mengambil iktibar dan pengajaran.

Di dalam masa yang sama, ibu bapa haruslah memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk memperbaiki kehidupan serta memperbetulkan kesalahan dan kesilapan.

Yang namanya manusia pasti tidak dapat lari dari kesalahan dan kesilapan. Persoalannya kadang-kadang (tidak semua) ada ibu bapa yang berpatah arang atas kesilapan anak-anak mereka sehingga tidak dipedulikan langsung, atau lebih parah lagi disumpah dan mengharamkan menjejak kaki ke rumah orang tuanya atas alasan tidak dengar cakap atau melanggar cakap ibubapa.

Ibu bapa perlu sedar bahawa ujian yang paling besar yang sedang menanti mereka ialah ujian membesarkan dan mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh. Ibu bapa juga tidak boleh menetapkan bahawa anak-anak mesti mendengar cakap mereka.

Ini kerana bila anak-anak mempunyai keinginan masing-masing yang tidak difahami oleh ibu bapa. Adalah sangat wajar ibu bapa memahami keperluan anak-anak masa kini dan membantu mereka dalam perkara yang mereka rasa betul pada hakikatnya mereka salah.

Kalau ada di kalangan anak-anak yang meminta maaf dari kedua orang tuanya mahupun ibu mertua atau bapa mertua adalah menjadi sikap orang yang matang memaafkannya bukan berdendam.

Dalam hal keadaan seseorang anak sedar akan kesilapannya dan menginsafi kesalahannya lalu meminta maaf hendaklah dimaafkan kalau tidak pasti Allah swt memerhatikan sikap manusia dalam hal ini sedangkan Allah swt berjanji akan memaafkan segala kesalahan anak adam melainkan dosa syirik.

-utusan malaysia-

This entry was posted in Kalam Pena and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s