Mencari Sakinah di Bumi Khilafah

bmosque

“Selepas ini kalau boleh makcik mahu ke Syria dan Turki,” kata Makcik Ina.

“Bagus perancangan itu. Makcik nak guna jalan darat atau jalan udara?” saya bertanya.

Ketika itu, Syria bukanlah sebuah negara yang mudah untuk ditembus masuk oleh orang Malaysia. Kebarangkalian untuk kemasukan ditolak di pintu-pintu imigresen negara itu amat tinggi.

Sebabnya masih misteri.

Aunty nak pergi ke Syria ikut jalan darat. Tetapi nanti dari Syria elok ke Istanbul dengan pesawat. Jauh sangat untuk sampai ke Istanbul,” tambah Makcik Ina lagi.

“Betul tu aunty,” saya mengangguk setuju.

Makcik Ina baru sahaja tiba ke Jordan semalam, dari Mesir. Beliau datang bersama dengan anak saudaranya, Zaini yang belajar di al-Azhar Kaherah. Kebetulan Zaini itu kenalan kami maka kehadirannya bersama Makcik Ina kami raikan sebaik mungkin. Ada kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata pada menerima kehadiran tetamu dari Malaysia, seperti mengubat sudut-sudut rindu di balik hati.

“Tapi, Hasrizal sibuk. Kalau tidak, boleh juga Hasrizal ikut makcik ke Turki. Seronok betul makcik dengan cerita Hasrizal tentang Turki tadi,” kata Makcik Ina sambil kami menjamah hidangan makan tengah hari.

“Ehh… saya… hmm. Saya tidaklah sesibuk itu, aunty!” saya hampir tercekik mendengar kata-kata Makcik Ina itu.

Semua orang ketawa.

Mana mungkin Hasrizal melepaskan peluang untuk ke Turki. Itu sudah pasti.

“Cuma, saya tidaklah boleh berjalan lama bersama. Tetapi untuk sehari dua, membantu aunty dan Zaini biasakan diri dengan Istanbul dan sistem pengangkutan di sana, macam mana nak beli barang dengan juta-juta Lira tu, Insya Allah boleh saya usahakan,” saya pula yang beriya-iya tanpa berselindung.

“Oh, kalau macam itu selesailah masalah kita. Petang ini aunty dan Zaini ke Damascus. Hasrizal pergi ke Istanbul dulu ya. Tempahkan hotel untuk kami dan lusa kami tiba di sana,” kata Makcik Ina dengan wajah yang bersinar-sinar tanda kegembiraan.

Saya juga apa kurangnya.

Hati kembang bagai bunga rafflesia.

Tanpa diduga, hanya selepas beberapa bulan pulang dari lawatan pertama ke Turki, esok saya akan ke sana lagi.

MENYAMBUT KETIBAAN

Saya ke Istanbul dengan pesawat Turkish Airline (THY). Hotel ditempah dan pelan perjalanan untuk Makcik Ina dan Zaini juga telah saya siapkan. Seperti yang dijadualkan, Makcik Ina dan Zaini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul tepat jam 9 pagi.

Selesai urusan hotel, kami keluar makan di Lokanta (restoran) berhampiran. Masakan Turki tidak banyak menimbulkan kejutan kepada orang Malaysia. Hanya yang gelisah dengan tomato sahaja yang bermasalah.

Aunty dengan Abang Zaini duduk-duduklah di luar. Saya uruskan pembayaran,” saya sendiri masih rancak kepala mahu menyesuaikan matematik pada wang Lira Turki yang kaya dengan sifar itu.

pemetaan

USD100 menyamai TL2,100,000!

“Eh, tak perlu ambil baki itu. Berikan sahaja kepada pekedai. Masakannya bagus,” kata Makcik Ina.

Saya terkejut. Hanya mampu tersenyum, memikirkan kemurahan hati Makcik Ina yang membelanjakan wangnya dengan pantas, bermula daripada ‘biasiswa’ ke Turki hinggalah kepada perbelanjaannya yang kalau dibahasakan secara negatif, boleh dilabel sebagai boros.

Tiba-tiba…

“Ya Allah!” Makcik Ina terduduk bertimpuh.

Orang ramai memerhati. Saya juga bimbang kerana kami berada tidak jauh daripada laluan tram di hadapan Masjid Firus Aga.

“Kenapa acik?” Zaini membantu Makcik Ina berdiri.

“Itu!” kata Makcik Ina sambil menunjuk ke udara.

“Apa dia?” Zaini kehairanan.

“Azan!” jawab Makcik Ina.

Terpana.

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Rupa-rupanya Makcik Ina terlalu tersentak dan tersentuh dengan laungan azan dari Masjid Sultanahmet. Bukan hanya dari Masjid Sultanahmet, malah daripada ratusan malah lebih 1000 masjid di bumi Istanbul. Seperti terimbau imaginasi setiap insan yang mendengar  laungan azan itu dengan hati, kepada hari-hari indah dan penuh bahagia ketika bumi Turki di era Othmaniyyah.

Aunty tak faham. Kenapa anak-anak aunty tak habis-habis mahu ke Disneyland. Sudah berapa kali mereka pergi ke sana… hmm. Istanbul inilah yang sepatutnya seorang manusia pergi. Fascinating!” kata Makcik Ina sambil melangkah masuk ke makam Sultan Ahmet di perkarangan Masjid Biru.

“Sebelum Istanbul nampak cantik atau hebat, kena ada kaedah who you are determines how you see, betul tak Aunty?” saya menambah rencah.

“Very true… Hasrizal, siapakah Sultan Ahmet ini?,” tanya Makcik Ina kepada saya.

SULTAN AHMET (1603–1617)

sultanahmet

“Oh, Sultan Ahmet ini adalah sultan yang memerintah Khilafah Othmaniyyah pada awal kurun ke-17. Beliaulah yang memerintahkan supaya Masjid Biru dibina. Beliau mahu menutup mulut orang Kristian yang mengatakan bahawa orang Islam tidak mampu membina bangunan sehebat Aya Sofya. Berjiwa tajdid!” saya cuba mengingati apa-apa yang pernah saya baca mengenai beliau.

“Tajdid yang macam mana tu?” Zaini menyoal.

“Era Sultan Ahmet sudah masuk ke era yang merosot dari segi perkembangan Khilafah Othmaniyyah.  Seperti semua tamadun lain, kemerosotan berlaku ialah semasa merosotnya akhlak manusia, biar pun bangunan sehebat Masjid Sultanahmet berjaya dibina. Jadi Sultan Ahmet tidak mahu pemerintahannya hanya ada masjid sehebat Masjid Biru. Beliau banyak menguatkuasakan kembali undang-undang yang memberikan penegasan kepada perbuatan minum arak dan ponteng solat Jumaat,” saya berkongsi.

Makcik Ina yang khusyuk mendengar cerita saya, menggantungkan tasbihnya di pagar kecil yang mengelilingi makam Sultan Ahmet dan keluarganya.

“Untuk apa tu, aunty?” saya kehairanan.

“Ini janji aunty kepada Sultan Ahmet. Kepada Allah. One sweet day, aunty akan bawa anak-anak aunty berkenalan dengan Sultan Ahmet. Aunty mahu mereka mencontohi Sultan Ahmet!” jawab Makcik Ina perlahan.

Matanya sentiasa berkaca.

Seperti ada sesuatu yang besar ditanggung oleh Makcik Ina.

“Jom kita ke Masjid Biru. Zohor sudah masuk”,” saya mengajak Makcik Ina dan Zaini.

“Makcik nampak tak palang tu? Abang Zaini nampak?” saya menunding jari ke arah sebuah palang besi di pintu masuk arena Masjid.

“Takut lori masuk ke?” teka Zaini.

“Haha… bukan begitu. Dulu-dulu, hanya sultan sahaja yang dibenarkan masuk ke arena masjid dengan kuda. Tetapi palang tu sengaja Sultan Ahmet perintahkan agar ia diletak begitu. Tujuannya ialah supaya setiap sultan yang masuk, terpaksa tunduk untuk mengelak palang. Simboliknya, setiap sultan yang berkuasa, mesti tunduk semasa masuk ke masjid. Jangan sombong!” saya berkerut dahi cuba mengingati kembali fakta-fakta yang dibaca sejurus selepas pulang dari lawatan pertama ke Turki beberapa bulan yang lalu.

masjidbiru-wikipedia

“Subhanallah… Itulah pentingnya tasawuf dalam jiwa seorang yang berkuasa,” kata Makcik Ina.

Saya kaget.

Zaini juga terdiam.

KESUFIAN SULTAN

“Makcik rasa, hampir semua Sultan Othmaniyyah itu orang sufi. Betul tak?” tanya Makcik Ina.

“Kalau SEMUA tu, saya kurang pasti, aunty. Tapi kalau kebanyakan, itu ya,” saya menokok lagi.

Khilafah Othmaniyyah menyaksikan perkembangan pesat aliran Sufi dengan tarekat-tarekat yang pelbagai. Ia sentiasa dilihat sebagai sumber kekuatan kepada survival umat Islam di bumi Anatolia ini. Mungkin kerana itu Mustafa Kemal Ataturk tidak bertangguh mengharamkan semua gerakan sufi pada tahun 1925, kurang setahun Khilafah Othmaniyyah ditumbangkan.

Sambil melangkah masuk ke masjid, Makcik Ina memasukkan TL1 juta ke dalam tabung masjid. Jumlah yang hampir menyamai USD50 ketika itu.

Apa yang menghairankan saya, setiap kali Makcik Ina membelanjakan wangnya, beliau akan terhenti sedetik, tersenyum dan kemudiannya meneruskan perjalanan.

Solat Zohor di Masjid Sultanahmet sangat mengagumkan. Ada perasaan luar biasa yang menguasai diri ketika itu.

“Sikitnya orang solat zohor!” rungut Zaini.

“Walaupun sedikit, tetapi inilah ghuraba’ di bumi Khilafah. Mereka ghuraba’ kerana mereka mengalami apa yang sahabat Nabi alami dulu. Minoriti yang berpegang dengan agama Allah!” saya menambah.

“Betul juga. Sebab itu sejuk mata tengok muka mereka,” kata Zaini. Teringat kepada kenalannya dari kalangan pelajar Turki di Mesir.

ISTANA TOPKAPI

“Tak sesuai aunty.Istana Topkapi tu besar. Tak cukup dua jam,” saya yang bersemangat muda, tidak bersetuju dengan cadangan Makcik Ina yang mahu melawat Muzium Topkapi petang itu.

Aunty bukannya nak tengok semua. Aunty nak tengok barang tinggalan Sultan Abdul Hamid II sahaja. Lain-lain, bonus jika sempat,” kata Makcik Ina.

“Kalau begitu, oklah. Jom kita ke sana,” saya membawa Makcik Ina dan Zaini masuk ke Istana Topkapi.

Istana Topkapi yang menempatkan muzium Islam terbesar di dunia itu asalnya adalah sebuah kompleks pemerintahan yang menempatkan kuasa Kesultanan Othmaniyyah semenjak zaman Sultan Muhammad al-Fatih lagi. Cuma di zaman Sultan Abdul Hamid II pada akhir kurun ke-19, baginda telah memerintahkan agar pemerintahan dipindahkan ke sebuah istana kayu yang lebih kecil iaitu di Yildiz Sarayi. Baginda tidak mahu berselindung di balik tembok istana ketika ramai rakyat yang menderita akibat pelbagai krisis ekonomi, politik dan sosial.

“Inikah baju Sultan Abdul Hamid?” tanya Makcik Ina.

“Ya, makcik” saya mengangguk.

Makcik Ina menangis. Lama beliau terpaku berdiri di hadapan persalinan rasmi milik Sultan Abdul Hamid II yang susuk tubuhnya nampak sederhana. Tangan Makcik Ina terletak di cermin.

“Hasrizal tahu, Sultan Abdul Hamid ini sangat halus jiwanya. Dia menjahit bakul sendiri, iaitu amalan orang-orang sufi,” kata Makcik Ina.

Saya hanya melerek senyum. Mendengar cerita Makcik Ina, seorang wanita profesional yang luas pengetahuannya.

“Kenapakah insan semulia ini, akhirnya menjadi penghuni muzium?” tanya Makcik Ina.

“Bukan Sultan Abdul Hamid sahaja, acik. Islam itu sendiri sudah sebahagian besarnya dimuziumkan,” tambah Zaini.

topkapi-verandah

Semasa keluar daripada perkarangan istana, Makcik Ina memberi banyak wang kepada peminta-peminta sedekah di situ.

“Makcik tak risau jika mereka itu sindiket?” saya bertanya.

“Jika benar mereka sindiket, mereka mesti dibantu dengan jumlah yang besar lagi supaya dapat menebus atau melarikan diri. Yang penting niat kita, Hasrizal”,” ujar Makcik Ina.

Saya tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Hanya mengiyakan sahaja pandangan Makcik Ina yang selalu sukar dijangka.

KELETIHAN

Malam itu saya tidak bertangguh untuk melelapkan mata.

Makcik Ina dan Zaini akan meneruskan perjalanan mereka. Semangat Makcik Ina begitu tinggi, beliau mahu pergi sejauh Diyarbakir dan Mardin di timur Turki. Katanya mahu mencari majlis-majlis Tarekat untuk menjejak sufi di Turki.

“Abang Zaini, boleh ana tanya sesuatu?” saya berbual sambil menunggu mata terlelap.

“Apa dia tu?” Zaini menoleh kepada saya.

“Makcik Ina kerja apa ya. Laju betul dia berbelanja. Bukan beli barang, tetapi tolong orang,” saya bertanya, dalam kehairanan.

“Dia pensyarah bahasa. Sambil itu bekerja sebagai penterjemah,” beritahu Zaini kepada saya.

“Ohh begitu. Dato’ ahli perniagaan, kan?” saya mencari kepastian. Makcik Ina sama sekali tidak membenarkan dirinya dibahasakan sebagai Datin.

“Ya. Tapi kelajuan Makcik Ina berbelanja itu ada sebabnya,” kata Zaini lagi.

“Apa sebabnya?” saya semakin hairan.

“Nanti ana beritahu anta,” Zaini berteka teki dengan saya.

Keesokan paginya, selepas bersarapan pagi saya meminta izin daripada Makcik Ina dan Zaini untuk ke Lapangan Terbang.

“Terima kasih Hasrizal. Ada rezeki kita jumpa lagi Insya Allah,” kata Makcik Ina.

Zaini bersalaman dengan saya sambil menyerahkan sepucuk surat.

Perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk dengan menaiki teksi sungguh selesa. Pihak Dewan Istanbul Metropolitan menyediakan lorong khas di jalan raya khusus untuk kereta yang mahu terus menuju ke Lapangan Terbang, tanpa perlu berhenti  atau membelok ke mana-mana.

Jika atas belanja sendiri, mustahil saya akan memilih teksi. Tetapi Makcik Ina meminta pihak hotel menempah teksi daripada hotel terus ke Lapangan Terbang.

RAHSIA MAKCIK INA

udara

Selepas pesawat Royal Jordanian selesai mendaki ruang udara, saya tidak sempat untuk membaca surat yang Zaini kirimkan. Mata yang terlalu mengantuk segera menuntut lena.

Pesawat terbang dengan lancar.

Laut Mediterranean yang luas terbentang sungguh mendamaikan.

Selepas dikejutkan untuk sarapan pagi, saya membuka sampul surat misteri itu.

“Hasrizal, anta beritahu semalam yang setibanya anta di Amman, anta akan berkejar ke kelas Ahwal Syakhsiyyah anta di Mu’tah. Ini ada satu masalah fekah yang boleh anta fikirkan untuk kelas tengah hari ini.

Bagaimanakah perlaksanaan hukum Syara’ apabila seorang suami berkata kepada isterinya, “Aku berikan engkau RM20 ribu. Belanjalah sesuka hatimu. Apabila sen terakhir selesai engkau gunakan, maka terlaksanalah keputusan aku, menceraikan engkau dengan talaq satu!”

RM20 ribu itulah yang membawa kita ke Turki.

Wanita yang bakal ditalakkan dengan habisnya wang RM20 itu pula adalah Makcik Ina.

Doakanlah beliau dan anak-anaknya.

Doa orang musafir didengar Tuhan!

Akhuka fillaah,

ZAINI

Subhanallah!

Saya mengurut dada.

Barulah saya faham mengapa Makcik Ina kelihatannya sangat fragile. Mengapa Makcik Ina tidak berkira semasa berbelanja. Malah mengapa Makcik Ina semakin kuat kecenderungannya mencari damai di jalan sufi.

Moga bumi Khilafah ada penawar untuk Makcik Ina.

Saya dikhabarkan bahawa talaq berta’liq oleh Datuk ke atas Makcik Ina jatuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Makcik Ina menggunakan 50 sen terakhir untuk menelefon anaknya agar datang mengambil beliau di Lapangan Terbang.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhee Raaji’oon..

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

This entry was posted in Kalam Pena and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s