Abu Saif: Selamat Tiba Ahmad Muizzuddin

IMG_0123

Alhamdulillah…

Itulah semulia-mulia kalam yang selayaknya seorang hamba seperti saya ucapkan.

Ummu Saif sudah selamat bersalin. Penantian selama 9 bulan, penuh debaran dan cabaran, sempurna dengan begitu baik petang tadi.

PETANG YANG MENDEBARKAN

Saya tidak dapat berkejar ke hospital dengan segera kerana banyak urusan pengubahsuaian kerja yang perlu dibuat. Ada yang terpaksa dipinda tarikh, ada yang dibatalkan, dan tidak lupa, beberapa nama ustaz alternatif perlu dicari dan diperpanjangkan kepada penganjur program untuk membantu mereka mencari pengganti.

Pada jam 4 petang, Ummu Saif sudah dicadangkan agar ketuban dipecahkan. Tetapi kerana menanti ketibaan saya, Ummu Saif meminta agar ia ditangguhkan sekejap. Pengalaman-pengalaman lepas, apabila ketuban pecah, tempoh untuk bayi keluar amat segera.

Alhamdulillah saya berjaya tiba di hospital pada jam 4:30 petang.

Ketika tiba, Ummu Saif sedang berbincang dengan jururawat, bertanyakan kalau-kalau beliau sudah boleh dimasukkan ke bahagian stage 1 di dewan bersalin memandangkan ketika itu dilation sudah 3 sentimeter. Rupa-rupanya bahagian stage 1 itu sudah diubah suai untuk kegunaan pemerhatian untuk ibu-ibu yang mahu bersalin tetapi dijangkiti wabak selsema babi. Setakat 3 sentimeter, polisi belum membenarkan pesakit dipindahkan ke dewan bersalin.

Mungkin ketika itulah perasaan saya menjadi sangat terkilan.

Terkilan kerana saya tahu Ummu Saif sedang menanggung sakit yang amat sangat, terutamanya kesan induce yang diberi, dan saya pula sebagai suami tidak dapat berbuat apa-apa kecuali berdoa dan membantu pergerakan isteri seadanya.

Pada jam 5:30 petang, registra tiba.

Barulah pemeriksaan dapat dibuat dan didapati dilation sudah mencapai 5 sentimeter. Ketuban dipecahkan dan Ummu Saif segera ditolak ke dewan bersalin untuk proses melahirkan anak. Cemas itu tidak, tetapi saya tetap ada rasa gementar yang signifikan kerana saya tahu setiap proses melahirkan anak itu adalah suatu pertarungan antara hidup dan mati. Sesuatu yang sepatutnya turut suami alami di medan jihad. Tetapi…

Contraction semakin kerap dan kuat, walaupun tidak sekuat semasa melahirkan anak-anak kami sebelum ini. Ummu Saif memohon diberikan suntikan epidural, tetapi saya cuba yakinkan beliau bahawa tempoh bersalin sudah sangat hampir dan sedikit sahaja tambahan semangat diperlukan untuk mengharung kesakitan yang sedang ditanggung.

IMG_0121

Dalam suasana bilik bersalin yang sepi, Alhamdulillah beberapa orang doktor pakar daripada Jabatan Kecemasan datang. Semuanya kawan Ummu Saif belaka. Kehadiran mereka serba sedikit menceriakan bilik bersalin walaupun kelihatannya para midwife agak gementar atau tidak selesa dengan kehadiran doktor-doktor pakar ini. Mujurlah doktor pakar dari Jabatan Kecemasan, semua rock-rock belaka.

Santai dan sangat melegakan.

Saya memegang tangan Ummu Saif.

Mulut tidak lepas daripada membaca Ayaat al-Kursi, berselawat dan berdoa, memohon keringanan dari Allah.

KETIBAAN

Tepat jam 6:30, Ummu Saif sudah bersedia untuk meneran. Apabila tiba sahaja contraction yang cukup kuat, push pertama terus berjaya mengeluarkan kepala anak kami. Alhamdulillah. Apabila tiba contraction berikutnya, push yang kedua terus berjaya melepaskan bahu si bayi dan tepat jam 6:40 petang, Ahmad Muizzuddin selamat dilahirkan dengan sempurna.

Suatu kelegaan besar diiringi dengan rasa syukur.

IMG_0122

Tetapi proses bersalin belum berakhir.

Placenta atau uri perlu dikeluarkan dengan sempurna dan bahagian-bahagian yang terkoyak perlu dijahit semula. Di bahagian inilah selalunya saya berasa amat sedih melihat kesakitan yang dialami oleh isteri. Rasanya, mahu sahaja saya heret budak-budak muda yang gatal lupa Tuhan tengok apakah yang dinamakan proses bersalin itu.

Biar mereka ingat balik sakitnya ibu masing-masing melahirkan mereka dahulu.

Biar mereka ingat bahawa pergaulan-pergaulan bebas dan kegatalan jiwa itu jangan setakat memikirkan ’sedap’ yang sekejap, tanpa memikirkan ’sakit’ yang menanti.

Ahmad Muizzuddin dilahirkan dengan berat 2.85kg.

IMG_0125

Saya mengangkatnya dengan lafaz Bismillah, memberi salam, dan seterusnya melaungkan azan seadanya ke telinga cahaya mata yang baru tiba ke alam dunia itu. Biar kalimah yang membesar dan mengagungkan Allah menjadi santapan telinga pertama buatnya. Seruan menTauhidkan Allah, memuliakan Rasulullah, menjaga solat dan cemerlang dunia Akhirat.

Segala yang ada di dalam seruan azan itu sudah cukup untuk menyimpulkan segala impian, harapan dan pelan kehidupan buat setiap anak yang tiba ke alam dunia.

Sedikit tamar yang sudah dilumatkan, saya sapukan ke mulut Ahmad Muizzuddin untuk sunnah Tahniq, dan tamar itu memberikan tenaga segera untuk si anak bertahan memandangkan ibunya belum mempunyai tenaga untuk memberi susu badan secara serta merta.

Biar pun tempoh kehamilan Ahmad Muizzuddin penuh liku dan cabaran, proses melahirkannya amat segera dan mudah berbanding dengan Saiful Islam, Naurah dan Imad. Alhamdulillah. Saya yakin sebahagian daripada kemudahan itu adalah kurniaan Allah daripada sebegitu ramai teman di blog Saifulislam.Com dan Facebook yang mendoakan kami.  Kerana itu, setengah jam selepas Ahmad Muizzuddin dilahirkan, saya poskan gambarnya ke Facebook melalui aplikasi di telefon sebagai tanda penghargaan kami kepada semua yang berkongsi nasihat, pandangan, doa dan keprihatinan… biar pun sebahagian besarnya tidak kami kenali.

TERPAKSA PULANG

Saya mahu tinggal di wad menemankan Ummu Saif yang masih mengalami pendarahan dengan jumlah ketulan darah yang agak banyak. Bimbang juga kalau-kalau beliau pitam sebelum sempat menekan butang memanggil jururawat. Beliau juga muntah-muntah akibat alahan kepada ubat penahan sakit Ponstan yang diberikan. Saya khuatir kerana semasa melahirkan Muhammad Saiful Islam, muntah-muntah Ummu Saif memberi tekanan kepada otot-otot di bahagian perut hingga ketika itu otot berkenaan terkoyak.

Tetapi suasana di wad tidak sesuai.

Syukur Alhamdulillah para jururawat telah memindahkan Ummu Saif daripada katil terhujung di tepi tingkap ke petak yang terhampir dengan stesyen mereka. Saya berasa senang hati untuk pulang ke rumah memandangkan anak-anak di rumah perlu diuruskan persekolahan mereka pagi esok.

Saya tiba di rumah pada jam 12:30 pagi.

Belum mampu berehat, kerana ada satu lagi tugasan yang perlu saya selesaikan. Membersihkan uri.

MENGURUSKAN URI

Tiada sebarang aturan dari segi hukum Syara’ tentang kaedah menguruskan uri. Malah kepercayaan-kepercayaan tentang hubungan di antara uri dengan bayi yang lahir serta tertib-tertib tertentu pada menguruskannya, semua itu adalah kepercayaan yang tidak mempunyai sebarang asas di dalam hukum Syara’.

Namun, sebagai sebahagian daripada anggota badan yang keluar bersama bayi yang lahir, ia wajarlah dilupuskan dengan cara yang baik, agar tidak menjadi busuk apatah lagi dimakan binatang buas seperti anjing. Disebabkan oleh malam yang sudah larut, saya membasuh uri tersebut dengan cuka, air asam jawa juga sedikit garam kasar sebagaimana membasuh ikan yang disiang. Tujuannya adalah untuk membersihkan darah yang banyak agar ia tidak busuk dan sempat untuk saya tanamkan ia ke tanah pagi esok Insya Allah.

Saya belum pasti di manakah uri itu patut ditanam, memandangkan halaman rumah kami sudah tidak bertanah. Esoklah saya fikirkan.

Cuma, membasuh uri ini memang mencabar. Saya yakin, sesiapa yang tidak tahan dengan bau darah akan dengan mudah pitam disebabkan oleh darah yang banyak, tali pusat yang berpintal-pintal dan bau darah yang kuat. Di sinilah mungkin satu peluang yang wajar dimanfaatkan oleh para suami untuk berbakti sebagai sebahagian daripada cara menghargai isteri dan anak.

Basuhlah uri itu.

IMG_0127

Insya Allah pengalaman membasuh dan menguruskannya akan menjadikan kita lebih menghargai isteri dan anak-anak.

Bukan kata Quran atau Hadith, sekadar secebis pengalaman peribadi.

Semoga Ummu Saif dan Ahmad Muizzuddin sihat-sihat dan boleh segera pulang ke rumah.

Malam ini saya tidur dengan Imaduddin yang perlu dipujuk kerana kehilangan status ADIK yang dinikmatinya selama dua setengah tahun ini.

Ala bucuk bucuk… tidur ya!

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
68000 AMPANG

This entry was posted in Kalam Pena and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s