Sudahkah Anda Betul-betul Bersedia Utk Kahwin???


“Rumahku syurgaku”, “Baiti Jannati” atau “Home Sweet Home” adalah suatu ungkapan yang menggambarkan betapa indah dan bahagianya kehidupan di alam rumah tangga. Rumahtangga adalah syurga dunia. Inilah yang menjadi impian setiap insan yang ingin berumahtangga. Ia merupakan suatu nikmat dunia yang merupakan tanda kebesaran Allah kepada manusia, sehingga seolah-olah menjadi syurga bagi yang menikmatinya Perasaan bahagia, tenang dan saling berkasih sayang yang menyelubungi suasana rumah tangga (sakinah, mawaddah wa rahmah) adalah suatu rahmat kurniaan Allah yang sukar dilukiskan sepenuhnya oleh coretan pena atau ungkapan kata-kata.

Sebagai mana firman Allah SWT dalam surah ArRum ayat 21:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaranNya), ialah bahawa Dia menciptakan jodoh untukmu dari dirimu, supaya kamu bersenag-senang kepadanya dan Dia mengadakan sesama kamu kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya tentang demikian itu, menjadi tanda bagi kaum yang memikirkan”.

Rumahtangga adalah umpama sebuah negara yang kecil. Sebuah negara yang berdaulat sudah tentu mampu dan berkeinginan memenuhi keperluan dan melindungi warganya. Begitu juga dalam mendirikan rumahtangga, pemimpin rumahtangga mesti membentuk suatu penyusunan pemerintahan yang berkemampuan dan berkemahuan untuk menjadikan rumahtangganya mendapatkan keperluan, perlindungan dan kesejahteraan anggota-anggotanya. Sebagaimana namanya, rumah tangga juga membawa ibarat seperti bangunan.

Tegaknya sebuah rumahtangga perlu dibangunkan di atas dasar yang kukuh, tiang-tiang yang tegak, dinding yang kuat serta atap yang teduh dan rapat. Barulah ia menjadi sebuah bangunan yang sesuai dihuni dan nyaman. Namun, bangunan yang cukup kelengkapannya sahaja tidak memadai. Rumahtangga perlu juga disertai nilai spiritual. Binaan rumahtangga yang tidak mempunyai ruh, akan mudah runtuh. Ia juga bagaikan bangkai bernyawa, hidup seperti tidak bermakna lagi! Maka wajib bagi pemerintah rumahtangga itu menyediakan segala keperluan dari sudut fizikal mahu pun spiritual rakyat dalam negara mininya itu.

Menjalani kehidupan berumah tangga juga sering diibaratkan bagai bahtera yang melayari lautan. Ia bukanlah kehidupan yang sentiasa tenang, ada sahaja gelora ujian dan ada kalanya badai fitnah yang akan melanda. Silap perhitungan, mungkin juga mengakibatkan karam pula. Maka rumah tangga akan bertukar menjadi neraka dunia. Ada pula yang menggambarkan perkahwinan itu sebagai suatu perjudian hidup, kemungkinan untuk menang dan tewasnya sama besar, oleh itu pernikahan itu mungkin juga digambarkan sebagai suatu angan-angan indah di tepi jurang yang mengerikan.

Maka, tidak hairan jika ada yang amat takut untuk menempuhnya. Dari sudut yang lain, ia adalah suatu fitrah. Siapa yang tidak ingin untuk membina mahligai bahagia? Namun kita perlu sedar bahawa untuk mencapai impian indah itu tidaklah semudah kita memetik jari meskipun begitu ia juga tidaklah sampai sesukar memindahkan sebuah bukit.

Dilema inilah yang membuatkan sesetengah teruna atau gadis berasa bimbang untuk hidup di alam ini, seterusnya menjadikan mereka teragak-agak. Seterusnya, mengakibatkan perasaan ‘serba tidak kena’ dalam melalui proses ke jinjang perkahwinan. Bagi teruna atau gadis yang belum membuat keputusan untuk menikah dinasihatkan, lalui dahulu proses pemantapan hati. Ini dapat dilakukan dengan membanyakkan munajat kepada Allah SWT semasa solat tahajud, solat istikharah dan solat hajat.

Apabila ibadah ini dilakukan berterusan secara istiqamah, insya Allah pendiriannya akan bulat. Seterusnya langkahnya menuju gerbang pernikahan akan menjadi langkah suci yang tulus ikhlas tapi penuh keyakinan dan tawakkal kepada Allah, malah akan dipemudahkan Allah.Sebagai sebuah sunnatullah, selayaknya pernikahan itu menjadi hak setiap orang. Kita juga mesti ingat bahawa setiap hak mengandungi nilai amanah. Ini penting, sebab manakala hak itu dibebaskan dari tanggungjawab amanah, maka kezaliman dan kesewenang-wenangan akan berlaku. Setiap hak dan amanah tadi menuntut seseorang itu agar mampu dan memenuhi syarat sebagai mukallaf.

Taklif (tanggung jawab) yang mesti dipikul oleh muslim dan muslimah yang mengikat diri mereka dalam ikatan pernikahan memang berat, tetapi indah. Tidak hairanlah mengapa para ulama berpendapat medan pernikahan dan rumahtangga itu umpama jihad yang agung, kerana menuntut pengorbanan yang penuh, namun sarat dengan pahala dari Allah SWT.Perkahwinan adalah ikatan yang suci, terhormat, dan tidak boleh dicampur-adukkan dengan bentuk-bentuk yang mencemarinya. Ini bermakna ia mesti dijauhkan dari unsur jahiliyah yang merosakkan sama ada semasa proses untuk membinanya mahu pun setelah pembinaannya. Sentiasa ada sahaja gangguan dan cobaan untuk meruntuhkannya.

Sebagaimana besarnya amanah menegakkan rumah tangga begitu jugalah beratnya tanggungjawab yang perlu dipikul untuk memelihara keutuhan mahligai itu. Perkara ini perlu ditegaskan sejak dari awal pembinaannya agar benar-benar disedari. Oleh yang demikian, persediaan peribadi mesti dipersiapkan sebelum memasuki jinjang pernikahan. Antara persiapan penting adalah membentuk peribadi yang matang, iaitu mampu untuk berdikari. Berikut adalah beberapa persiapan kematangan yang perlu diperhatikan oleh bakal suami/isteri:

I. Kematangan Emosi:

Kematangan emosi bermaksud sejauh mana seseorang itu telah mampu berlepas diri dari bergantung kepada mereka yang selama ini dominan terhadap dirinya. Sering kita berjumpa pasangan yang baru berumahtangga di mana suami dan isteri belum dapat saling mengikat diri mereka dengan kuat. Misalnya, si isteri yang masih merasakan ikatan emosional yang lebih erat dengan orang tuanya, akan selalu membawa persoalan rumahtangganya kepada ibu bapanya sebelum diusahakan penyelesaian bersama suaminya.

Bagi suami yang belum matang emosinya pula, biasanya tidak dapat bertanggungjawab sepenuhnya. Ia sering meminta pendapat ibu bapanya untuk menangani masalah berkaitan isterinya atau dalam membuat sesuatu keputusan. Inilah rumahtangga yang masih memerlukan “pengembalaan”. Ketidak matangan emosi suami/ isteri mungkin akan mengakibatkan suasana tegang malah perbalahan terhadap rumahtangga yang baru dibina itu.

II. Kematangan Sosial:

Kematangan sosial dapat digambarkan sebagai kemampuan seseorang untuk berhubungan dan berinteraksi dengan orang lain secara sihat dan memuaskan. Ia akan mampu memahami keadaan orang lain, baik kelebihannya mahupun kekurangannya. Sebaliknya ia juga dapat menerima kekurangan dan kelebihan dirinya. Dengan kefahaman seperti ini ia tidak akan menyulitkan dirinya sendiri dan juga tidak menyulitkan orang lain. Mutu komunikasi antara suami isteri yang lemah menandakan ketidak matangan sosial mereka.

Seseorang itu juga mestilah melatih dirinya dengan sifat sabar, supaya dapat menerima kelemahan dan kekurangan tingkah laku yang tidak disukai pada pasangannya. Ini adalah kerana ia juga mempunyai kelemahan yang harus dihadapi oleh pasangannya. Kesediaan menerima dan menyesuaikan diri ini, menjadikan pasangan suami isteri lebih matang dan dewasa dari aspek sosial.Seperkara lagi dalam aspek kematangan sosial yang mesti diperhatikan adalah kemampuan bersosial dengan keluarga dan saudara mara pasangannya. Mereka yang matang akan dapat berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan lingkungan keluarga pasangannya dengan baik.

Seorang suami/isteri tidak dikatakan matang sosialnya jika hanya berjaya menyesuaikan diri dengan pasangannya sahaja tetapi tidak dengan keluarga dan saudara mara pasangannya itu.

III. Kematangan Spiritual:

Kematangan spiritual pula berkaitan dengan sejauh mana kemantapan iman dan kemampuan dalam berdikari terhadap sikap dan prinsip-prinsip yang digariskan Islam. Persoalan jodoh iaitu bila dan siapa jodoh kita, sebenarnya telah ditentukan Allah SWT sejak pertama kali roh ditiupkan kepada kita iaitu semasa dalam kandungan ibu kita lagi. Soal jodoh, rezeki, dan ajal itu adalah hal ghaib yang sepenuhnya di tanganNya.

Kita hanya diwajibkan untuk berikhtiar. Tetapi, jalan atau cara kita berikhtiar itulah yang perlu diteliti agar sikap dan tindakan kita berdasarkan prinsip yang digariskan Islam.Persoalannya, apakah cara berikhtiar itu masih dalam batas-batas syara’ dan akhlak Islam ? Ada sesetengah orang yang begitu bersemangat untuk menikah, hinggakan apabila ia mengalami hambatan dalam perjalanan ikhtiar , lantas ia nekad menentang segala hambatan dengan cara kasar dan tidak berakhlak. Biasa juga terjadi, tanpa memperdulikan pandangan dan nasihat ibu bapa, keluarga, calon mertua dan tokoh masyarakat, pasangan calon pengantin itu “kahwin lari”, menikah di Siam.

Sebaliknya ada pula yang amat lemah pendiriannya sehingga mereka menjadi anak yang terlalu menurut kata ibu bapa dan keluarga, hinggakan hal yang dilarang ajaran Islam (dalam perkara berkaitan pernikahan, seperti kriteria pemilihan calon, berkenalan dan sebagainyha) pun tidak berdaya untuk mengatakan tidak. Yang penting kahwin, kata mereka. Kedua keadaan di atas jelas menunjukkan belum adanya sikap berdikari dalam prinsip atau belum mencapai kematangan spiritual.

iv. Kematangan berdikari dalam ekonomi:

Walau pun kita tidak meletakkan material sebagai ciri keutamaan , tetapi kita perlu bersikap realistik. Pelbagai keperluan asas dalam rumahtangga sentiasa menuntut kewangan yang berterusan. Sewa rumah, perabot dan peralatan rumah, bil elektrik, air, telefon, makanan dan pakaian kesemuanya memerlukan kewangan. Oleh itu, bakal suami mesti mampu menyara kehidupan diri dan ahli keluarga dalam rumah tangganya. Tambahan pula apabila telah mempunyai anak. Pembiayaan gizi, kesihatan dan pendidikan anak tidak boleh dihadapi hanya dengan modal semangat tinggi dan tawakal melulu.

Bukankah tawakal itu sendiri bermakna tidak membiarkan unta lepas begitu saja, melainkan harus diikat dulu? Bagi yang telah berpendapatan tetap, walau pun mampu menyara hidup keluarga, perlu juga diingatkan supaya berhemat ketika berbelanja untuk kenduri walimatul urus. Tidaklah dikatakan matang jika sudah beranak pinak, tetapi masih menanggung hutang perbelanjaan majlis khenduri. Oleh itu, persiapan pernikahan perlukan perhitungan yang realistik.

Rumusan

Persiapan pernikahan yang dibahaskan pada kali ini, hanya menumpukan kepada aspek persediaan dari sudut kematangan dan kemampuan berdikari sahaja. Terdapat aspek-aspek lain seperti bilakah usia yang sesuai untuk pernikahan dan mengenali rintangan dalam langkah-langkah menuju pernikahan yang perlu dibicarakan dalam menilai sama ada sudah bersediakah seseorang itu untuk menikah. Walau bagaimana pun penjelasan di atas diharap dapat menjadi panduan bagi teruna/gadis sebelum melangkah ke jinjang pernikahan. Sesungguhnya pernikahan bagi orang yang bertaqwa merupakan satu ibadah untuk menghampirkan dirinya kepada Allah. Semoga usaha melengkapkan diri sebelum menikah juga dikira sebagai ibadah…. Amin

This entry was posted in Kalam Pena and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s