Bicara POligami

MINGGU ini saya paparkan pandangan Encik Zawawi yang saya rasa patut sangat dibaca oleh kaum wanita kerana ia berkaitan luahan hati kaum lelaki tentang poligami. Sebelum ini kita banyak membaca kisah penderitaan wanita yang dipoligamikan saja sedangkan kaum lelaki jarang menceritakan mengapa mereka ingin berpoligami.

Kata Zawawi, kaum wanita cuma bercerita tentang masalah dan perasaan mereka yang kebanyakannya bercakap mengikut perasaan kerana tidak suka dipoligamikan sedangkan mereka tidak tahu apa yang sebenarnya tersirat dalam hati kaum lelaki dan apa yang mereka lakukan adalah mengikut landasan ajaran agama Islam sebenarnya.Untuk mengetahui pandangan beliau selanjutnya, ikuti tulisan beliau di bawah ini.
Katanya, penulis tidak patut berat sebelah tanpa menceritakan apa sebenarnya perasaan dan kehendak kaum lelaki tentang konsep berpoligami mengikut Islam.
“Saya merasakan perlu untuk mencurah perasaan hati kami atau melontarkan pandangan, pendapat mahupun idea yang telah lama terpendam dalam hati kami kerana banyak perkara yang berlaku dalam isu poligami ada hubung kait dengan permasalahan kebanyakan suami, mengapa mereka ingin berpoligami. Bukan hanya mengikut nafsu tetapi ada sebab tertentu.
“Dari apa yang saya perhatikan kebanyakan kaum wanita cuma melahirkan perasaan marah mereka saja bila suami kahwin lagi dan kemarahan ini berlarutan sejak sekian lama, mungkin hingga ke akhir zaman, yang entah bila akan ada penghujungnya.
“Sebenarnya saya adalah peminat tetap ruangan (Di Celah-Celah Kehidupan) DCCK ini, saya jarang ketinggalan menatap rencana tentang rumah tangga ini sejak tahun 1980-an lagi. Kerana berminat jugalah saya menyimpan banyak keratan dalam buku khas saya, semuanya saya kumpul dari zaman saya masih muda lagi hinggalah kini.
“Kerana masalah poligami ini juga amat ketara maka saya telah membuat kajian secara rambang di merata tempat, seperti di IPTA/IPTS, di mana bilangan kaum Hawa lebih dari tiga suku berbanding kaum Adam, di maktab-maktab perguruan, di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta, kilang-kilang perusahaan, di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta dan banyak lagi, wanita jauh melebihi kaum lelaki.
“Itu padangan jauh, yang dekatnya cuba lihat dalam keluarga kita sendiri. Kita dapati anak-anak perempuan kita lebih ramai daripada lelaki. Saya sendiri ada empat orang anak, cuma seorang lelaki. Begitu juga jiran saya bilangan anak perempuan melebihi lelaki. Adik-beradik saya pun sedemikian.
“Di samping itu cuba kita perhatikan bilangan ibu tunggal juga jauh lebih ramai daripada bapa tunggal. Belum masuk lagi bab keempat bilangan anak dara tua (andartu) ataupun anak dara lanjut usia (andalusia) juga lebih ramai bilangan mereka daripada bujang-bujang terlajak sekarang.
“Jadi sebagai manusia yang diberikan otak, cubalah kita berfikir dengan hati terbuka mengapa kita harus membiarkan masalah ini terus berlaku, kerana masalahnya nanti akan mempengaruhi struktur masyarakat dan peningkatan kaum Melayu dalam negara kita.
“Kita juga kena lihat, memikirkan, merenungi, atau menghayati secara rasional, dengan hati terbuka, ikhlas, penuh keinsafan, keredaan atau secara profesional. Cuba renungkan mengapa Allah turunkan agama Islam dengan hukum-hukumnya, mengapa Islam membenarkan lelaki beristeri sampai empat. Ingatlah Allah s.w.t. tidak saja-saja turunkan hukum tersebut tanpa sebab tertentu. Ingat Allah Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Allah tahu apa yang dimaksudkan-Nya.
“Dengan kata lain, Allah tahu apa yang akan berlaku kapada manusia, cita rasa, naluri, keinginan, sifat, sikap dan tanggungjawab kepimpinan serta tugas-tugas berat yang dipikul oleh manusia bernama lelaki itu. “Kalau suami tersebut tidak menunaikan tanggungjawabnya menjadi pemimpin yang baik sebagai ketua keluarga di dunia, maka dia akan menerima padah dan akan menjawab di hadapan Allah nanti.
“Allah Maha Adil, jadi kalau anda sebagai isteri maka tuntutlah ketidakadilan suami anda di akhirat nanti. Janganlah kaum wanita cuma mementingkan kehidupan di dunia ini sahaja, ingatlah dunia ini cuma sementara ini, yang kekal itu adalah akhirat.
*Keharmonian:
“Jadi kalau kaum wanita khasnya selagi mengaku beragama Islam dan mengucap dua kalimah syahadah, maka hendaklah anda berusaha menjaga dan memperbaiki keharmonian dalam rumah tangga anda, bahagiakan suami anda, ceriakan rumah tangga anda di samping hidupkan semangat kecintaan yang ada dalam hati suami supaya suami tetap mencintai anda.
“Tetapi jika sudah ditakdirkan anda dimadukan, maka hendaklah kaum wanita menerimanya dengan hati terbuka, jangan sekali-kali menolak atau melanggar hukum yang telah ditentukan-Nya. “Sebaik-baik jalan sebagai isteri pertama, anda hendaklah berusaha memperbaiki hubungan dengan madu-madu anda, insyaAllah semuanya akan berjalan dengan aman.
Di samping itu banyakkan berdoa, solat sunat, zikir dan membaca al-Quran memohon kepada Allah keredaannya supaya rumah tangga anda lebih bahagia dan lebih penting Allah akan membuka pintu-pintu kebahagiaan dan kesenangan-Nya. Ingat Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya.“Lihat keliling anda, zaman ini ego wanita begitu besar, balasannya ujian yang telah diturunkan oleh Allah iaitu lebih ramai wanita daripada lelaki, jadi salah satu cara untuk memperbaikinya adalah dengan meramaikan jumlah kaum lelaki berpoligami.
Kepada kaum wanita, jangan cepat melenting, berfikirlah secara rasional bukan emosional.“Manusia ini, tidak kira apa rupa bangsanya, atau agamanya, berapa umurnya, apa gendernya, sangat suka melakukan kerja-kerja terlarang. Kita melihat apa yang di larang oleh kerajaan dan agama, maka perkara itulah yang mereka suka lakukan.
“Setiap yang dilarang ada positif dan negatifnya, dan perkara yang dibenarkan pun ada positif dan negatifnya, cuma perbezaannya bagaimana kita melihat dan mengamal sesuatu perkara itu secara lebih bijaksana. Kita tidak semestinya terlalu rigid, kita mesti bersikap secara kualitatif daripada sikap kuantitatif, kita kena ambil kira dari semua segi dan pendekatan yang lebih positif kerana Allah sentiasa menolong hamba-hamba-Nya yang reda, ikhlas dengan ketentuan-Nya selepas berusaha dan berdoa.
“Soal keadilan, mana ada keadilah dalam dunia ini, saya cabar sesiapa saja, tunjukkan keadilan itu. Keadilan itu sangat subjektif, manusia dan dunia ini sememangnya tiada keadilan, keadilan itu hak Allah. Secara bodohnya, cuba kita lihat jari-jari kita, mana sama panjangnya dan secara rasionalnya, cuba lihat anak-anak kita, adakah kita adil pada mereka, tanya hati kecil kita kerana kita tidak boleh membohongi hati dan diri kita, apakah kita adil kepada anak-anak kita?“Kerana itu anggapan bahawa isu wanita suka merampas suami orang itu sudah tamat.
Wanita bukan perampas! tetapi konsep berkongsi suami perlu diperluaskan secara lebih praktikal lagi dan secara lebih rasional. Sesiapa yang boleh membantu atau menolong saudara seagamanya kalau bukan kaum wanita sendiri.
“Kaum lelaki hanya boleh membantu mereka dengan cara menjadikan mereka isteri-isteri dan bertanggungjawab ke atasnya, inilah sebenarnya konsep yang diharuskan agama serta digalakkan bagi mengimbangi permasalahan sosial, di samping mengurangkan masalah andartu, membantu ibu-ibu tunggal serta anak-anak kehilangan kasih sayang belaian mesra seorang ayah.
“Apa yang lebih penting lagi mengurangkan pembohongan kaum lelaki, yang selama ini banyak yang menipu kerana ingin berkahwin dua. Di samping mengurangkan dosa-dosa isteri yang membatasi naluri dan tabiat kaum lelaki yang diharuskan oleh agama Islam . Dan anda perlu ingat manalah tahu esok lusa masalah andartu atau ibu tunggal pula akan berlaku dalam keluarga anda sendiri.
“Wanita yang belum kahwin ini juga ingin merasakan kenikmatan, kegembiraan dan kebahagiaan bersama suami dan mempunyai alam rumah tangga, apa salahnya mereka berkongsi sama kegembiraan tersebut, pokoknya isteri-isteri tersebut bersikap positif dan reda, jangan fikirkan lelaki berpoligami itu hanya inginkan seks. Lelaki juga ada kalanya macam kanak-kanak perlukan belaian. Luaran saja nampak mereka gembira tetapi di dalam hati, mereka kesepian, kesunyian walaupun hidupnya aman.
“Tetapi ada syarat lelaki berpoligami, mesti bertanggugjawab terhadap rumah tangga, isteri dan anak anak. Dan jangan cepat tangan sampai memukul dan mencederakan isteri, kalau itu terjadi hilanglah rasa kasih sayang isteri. Ingat isteri itu amanah Allah!!!
“Kebanyakan lelaki, tidak kira berapa umurnya, apa pangkatnya, sedetik di dalam hatinya berhajat beristeri lebih dari satu, tetapi apakan daya, anak-anak dah besar, cucu dah banyak dan isteri sentiasa membangkang. Kerana itu menjadi tugas isteri menggembirakan suami tanpa membelakangkan batas-batas agama.
*Kerjaya:
“Sebenarnya wanita yang ingin berpoligami ini bukan mahukan wang ringgit, kerana mereka punya kerjaya tersendiri, mereka hanya mahukan status bersuami, ada tempat bergantung kasih, mencurah sayang, melipurlara dan mengadu hal. Maka jika suami bersikap dan bersifat positif ke arah membina keluarga besar yang harmoni, berpendidikan dan beragama itulah yang dituntut dan diwajibkan dalam Islam.
“Saya bukan menyokong suami berpoligami, tetapi ingatlah ini hukum Allah, jangan terlalu tamak di dalam kehidupan di dunia, suami bukan hak kita selamanya, diri kita pun cuma sementara. Esok entah lusa kita akan pergi tinggalkan apa yang amat kita sayang. Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berpesan, “Aku tinggalkan dua perkara, al-Quran dan Sunnahku, selagi berpegang kapadanya, kamu tidak akan sesat.
”Demikian pandangan Zawawi bahawa setiap lelaki itu berhajat untuk berpoligami, cuma keadaan tidak mengizinkan. Juga penting, mereka belum berani membuka mulut memberitahu isteri tentang hajatnya, yang banyak berlaku mereka nikah secara sembunyi untuk mengelakkan sebarang permasalahan.
Namun terpulanglah kepada pandangan dan pendapat anda tentang isu hangat ini. Kerana biasanya wanita memang benci poligami, ada yang lebih rela bercerai dari dipoligamikan. Kaum lelaki ada selera tersendiri. Terserah…
This entry was posted in Kalam Pena and tagged . Bookmark the permalink.

One Response to Bicara POligami

  1. mala says:

    Jika nak poligami… ikutlah cara Rasullulah. Dari mula cari calon sampailah nikah. Bersih.
    Tapi poligami sekarang… mulakan dengan maksiat… bercinta-bercintan…..(ada bubungan sebelum nikah….dah boleh ucap rindu sayang… bagai…) Itu satu bab. Bab lukakan hati isteri macam halal pula. Bab berbohong juga macam dah halal. Manalah nak bahagia…….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s