Muslim Rumahtangga – Siri II (Di Ambang Perkahwinan)

diambangperkahwinan.jpg

“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang memiliki agama, nescaya sejahteralah hidupnya”

Hadith Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.

Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadith ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS. Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa tujuan berumahtangga?

Begin with the end in mind“, adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.

Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia. Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, “aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku”

Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.

Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali. Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.

Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.

Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?

Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

“Maka pilihlah yang memiliki agama… nescaya sejahtera hidupmu”, pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.

“Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!”, kata seorang pelajar ‘bidang bukan agama’.

PENYAKIT “TIDAK JELAS”

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit “tidak jelas”, apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?

Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.

Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini? Sejauh mana gred ‘A’ yang digarap dalam subjek “PengeTAHUan Agama Islam” menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

“Yang memiliki agama” itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan “jenama TAHU agama” tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah.

Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.

Dia mungkin bertudung labuh.

Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang ‘teachable“.

cat.gif

HANYA ‘BERAGAMA’?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta. Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri. Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama. Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh… atas nama berkahwin kerana beragama.

PERBINCANGAN BERLANJUTAN

Selepas selesai saya memperkatakan tentang beberapa kunci dan anak kunci berkaitan dengan cinta dan alam pra perkahwinan, bicara dilanjutkan kepada memperkatakan tentang beberapa panduan kepada peserta PUISI 2007 tentang persoalan-persoalan DI AMBANG PERKAHWINAN.

Di ambang perkahwinan, lazimnya bermaksud peringkat seorang lelaki dan perempuan telah menyatakan persetujuan untuk saling menerima lantas melangkah ke era pertunangan.

Tetapi nanti dulu.

Jika keluar tengok wayang antara buayafriend dan gelifriend itu tidak sesuai dengan ajaran Islam, berdating dan pegang sana pegang sini untuk mencuba tidak kena, maka bagaimanakah kita mencari pasangan?

AGEN MENCARI CINTA

“Ustaz, betulkah saya mendengar bahawa di Ireland sana, adanya kerja-kerja mengatur perkahwinan dan match making untuk pelajar-pelajar ini?”, tanya seorang guru yang mengajar di sebuah kolej persediaan pelajar.

“Mereka memaksa pelajar ini berkahwin dengan calon yang ditetapkan”, katanya lagi.

Terkejut juga saya dibuatnya. Terberhenti seketika saya dari mengunyah biskut dan teh semasa sesi rehat.

“Rasa saya cikgu, perkara ini sangat berkait rapat dengan cara kita melihatnya. Jika kita melihatnya sebagai suatu yang negatif, maka ia akan kelihatan negatif. Andai dilihat secara positif, maka ia akan menjadi sesuatu yang positif”, saya cuba memulakan perkongsian cerita.

“Mungkin cara terbaik untuk saya jawab pertanyaan cikgu itu ialah dengan berkongsi cerita tentang bagaimana saya sendiri berumahtangga”, saya memberitahunya. Beliau nampak begitu berminat untuk tahu.

Sebagaimana yang telah saya catatkan di dalam artikel ERTI SEBUAH PERKAHWINAN YANG DIBINA DI ATAS PERJUANGAN, saya cuba memberikan gambaran kepada cikgu yang bertanya, bahawa soal pelajar bergaul bebas, keluar masuk rumah lelaki dan perempuan dan hal-hal yang sebegini memang merisaukan kita semua.

Ia salah dari segi agama.

Ia juga tidak ada kena mengena dengan kecemerlangan akademik dan profesionalisma.

Apa kebaikannya pergaulan bebas di negara yang masih di bumi Tuhan itu?

Maka ramai pelajar yang ada kesedaran Islam, berusaha menjauhkan diri dari pergaulan bebas. Ini tidak bermakna mereka itu jumud sosial dan tidak tahu cara berinteraksi. Agama pun tidak menyuruh begitu. Tetapi umumnya pelajar yang menjaga batas-batas pergaulan ini tidak punya cara untuk mencari cinta.

Walhal lelaki tidak datang menggolek.

Perempuan tidak datang melayang.

Maka sudah tentu dalam keadaan yang jauh dari ibu bapa, tiada sanak saudara, dan mencegah diri dari bergaul sesuka hati, maka para senior yang menjadi rujukan kehidupan, dan terbukti berwibawa pada keluarganya yang telah lama dibina, adalah tempat yang baik untuk meminta bantuan.

Pada ‘orang tengah’ ini, sedikit sebanyak kriterianya diberitahu. Concern ibu bapa, bahawa anak jangan berkahwin dengan orang yang jauh-jauh misalnya, turut diberitahu, malah ada juga yang sekadar memberi syarat umum, “baik di pandangan akak dan abang, baiklah untuk saya, Insya Allah”.

Orang tengah yang dipilih atas sifat wibawa dan amanah yang ada, berperanan untuk memikirkan calon yang sesuai.

“Saya juga bertemu jodoh dengan cara ini, cikgu”, saya tersenyum.

temuduga.jpg
Keluarga tidak pernah diketepikan

“Saya beritahu kepada sahabat saya, selepas lebih setahun saya tinggal di London, bahawa saya berhasrat untuk berumahtangga. Maka dengan serba sedikit pengetahuan sahabat saya ini tentang diri saya, dia berbincang dengan isterinya dan mencadangkan kepada saya satu dua calon, dengan cara yang sungguh sopan dan bermaruah”, saya memperincikan perbincangan.

“Begitu juga dengan calon di sebelah perempuan, saya diperkenalkan dengan cara yang cukup baik, memelihara emosi dan maruah diri dan segal-galanya terserah kepada saya dan dia untuk berkata YA atau TIDAK”, saya menyambung lagi.

“Tiada paksa-paksa?”, cikgu bertanya kepada saya.

“Tidak ada langsung unsur paksaan. Jika saya atau calon isteri tidak bersetuju, tidak ada sebab untuk tidak berkata TIDAK”, saya cuba meyakinkannya.

Sama ada namanya Unit Bait Muslim, atau sekadar seorang senior membantu atas kapasitinya sebagai individu, saya melihatnya sebagai medium yang baik dan sesuai dengan kehendak agama. Asalkan ia dilakukan dengan penuh integriti, amanah dan niat membantu kerana Allah. Agar Allah SWT tidak didurhakai dalam usaha mencari.

BERTUNANG

“Ustaz, berapa kali saya boleh sms tunang saya?”, tanya seorang pelajar.

“Berapa kali? Anta nak dalil Quran dan Hadith ke tentang jawapan berapa kali ana nak beri?”, saya sedikit terlopong.

ring.jpg
Jangan sampai mahu bertanyakan saiz cincin tunang pun tidak tahu

Dalam usaha untuk menjaga batas-batas agama, kerana seorang tunang dengan tunangnya masih tetap warga asing yang ajnabi, kadang-kadang banyak persoalan pelik yang ditimbulkan.

Soal berapa kali agama membenarkan sms, menunjukkan unsur-unsur robotik dalam kefahaman pelajar tersebut tentang mengukur komitmennya dalam beragama.

“Bukankah Nabi SAW sudah mengajar kita, bahawa hati ini tenang dengan kebaikan, dan gelisah terhadap dosa dan kejahatan”, saya menyambung peringatan.

Mintalah fatwa dari hati… di samping hati itu juga pula sentiasa berada dalam nada sedar yang baik terhadap Allah SWT.

Antara hikmah bertunang ialah untuk saling belajar mengenal, insan baru yang bakal menjadi teman seumur hidup. Tetapi proses kenal mengenal itu masih dalam keadaan kedua-duanya adalah pasangan yang belum ada ikatan yang menghalalkan pergaulan. Maka bijak-bijaklah dalam mengatur.

Telefon, email, sms… tanya khabar.

Cuma bersederhanalah.

Bila hati rasa tidak kena, semacam agak berlebihan dan tersasar dari maksud-maksud yang maaruf, belajar tekan brek dan kawal stering. Itu sahaja.

Terutamanya ketika menjelang perkahwinan. Banyak perkara yang harus dibincangkan. Maka berbincanglah… dan kemaskan sistem kawalan diri.

Berbincang tentang syariatullah, berbincang tentang sunnatullah.

SYARIATULLAH

Pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga, mesti berusaha melengkapkan dirinya tentang pengetahuan berkaitan hukum hakam yang sebelum ini mungkin kurang diberi perhatian. Khususnya bagi calon suami, anda bakal menjadi pengemudi rumahtangga nanti.

Hukum hakam tentang munakahat, jangan diabaikan. Bermula dari hal-hal yang berkaitan dengan akad nikah dan cerai fasakh, pengetahuan harus dikemaskinikan hingga kepada yang membabitkan lafaz ta’liq yang wujud dalam sistem akad nikah Malaysia, tetapi tidak di tempat lain.

Selain itu, hukum hakam berkaitan orang perempuan juga perlu ditambah.

Isu tentang haid, kitarannya, beza warna darah haid dan saki baki kotoran di akhir kitaran (stain) serta implikasi hukumnya, perlu diambil tahu oleh bakal suami.

ahkam_mar_ah.jpg
Antara buku yang boleh dimanfaatkan

Malah baik juga ditambah pengetahuan tentang perkara yang sedikit advance seperti hukum hakam tentang kehamilan. Hukum ke atas seorang perempuan andai berlaku keguguran di awal tempoh mengandung dan selepas tempoh mengandung, beza antara nifas dan istihadhah dalam soal ini, adalah di antara isu-isu perlu diberi perhatian.

Di samping semua itu, soal yang paling penting adalah urusan berkaitan menyusun kelahiran. Apakah ia dibenarkan oleh Islam, di mana keperluannya, apa beza antara sistematika kelahiran dengan menghadkan jumlah anak.

“Hal ini jangan dibincang sebagai bahan akademik, sebaliknya kalian harus mengambilnya sebagai subjek praktikal kehidupan berumahtangga. Bukan lagi untuk lulus periksa”, saya menyedarkan peserta dari lamunan.

“Isu mengawal kehamilan, maafkan saya jika saya katakan, sering berlaku kehamilan di luar perancangan. Kemudian ia mencetuskan pelbagai masalah di luar jangkaan dan semuanya berpunca dari keengganan kita berbincang. Saya tidak bimbangkan hukum syariatullah, tetapi tuntutan sunnatullah yang tidak dianalisa secara jelas”, perbincangan disambung.

SUNNATULLAH

Terutamanya bagi pasangan yang mahu mendirikan rumahtangga ketika masih belajar, keperluan untuk berbincang secara jelas tentang perancangan berkeluarga mesti dilakukan. Tanggungjawab utamanya ialah pada si lelaki.

“Mungkin bakal isteri tidak berani menimbulkan hal ini. Takut nanti ditempelak suami bahawa si isteri mahu menolak rezeki dan sebagainya. Maka suamilah yang sebaiknya mengusahakan perbincangan”, saya memberitahu.

baby.gif

“Apakah dalam keadaan masih belajar, atau lagi setahun nak final, atau bakal menempuh alam internship /housemanship, isteri bersedia untuk mengandung? Apa implikasinya? Apa pro dan kontranya… eloklah dibincangkan. Dan jika didapati mengandung pada situasi seperti ini terlalu berat untuk ditempuh, maka lanjutkan perbincangan kepada kaedah yang ingin diguna pakai untuk mencegah kehamilan. Ia boleh dicegah dari pihak lelaki juga di pihak perempuan”, saya meneruskan penjelasan.

“Maafkan saya untuk bercakap tentang hal ini, ya”, saya meminta izin. Nampak sebahagian peserta seperti tersipu-sipu.

Sedikit sebanyak trend MELUCAHKAN SEKS (yang juga trend popular di kalangan penceramah kursus pra perkahwinan), menjadikan kita susah untuk bercakap secara terbuka tentang hal-hal seperti ini. Kesan enggan berbicara, kita dedahkan diri kepada kesusahan yang tidak perlu.

“Cara yang mungkin lebih efektif, tiada kesan sampingan yang ketara ialah dengan menggunakan kondom. Tetapi kesan penggunaan kondom kepada apa yang diinginkan oleh seorang lelaki, perlulah difikirkan. Sebagai persediaan mental”, senang saya bercakap sejelas ini.

“Penggunaan kondom untuk mencegah kehamilan dalam tempoh tertentu, mungkin lebih sejahtera berbanding dengan kaedah ‘Azl, iaitu suami melepaskan air maninya di luar faraj ketika mencapai kemuncak. Ia mungkin kaedah yang memberikan kesan emosi yang negatif terhadap lelaki malah perempuan. Saya tidak bermaksud mahu memberikan preference antara yang mana, terpulang. Point utama saya ialah, berbincang!”, saya membuat penegasan.

condom1_lg.gif

“Andaikata pencegahan mahu dilakukan di pihak isteri, maka pilihan-pilihan yang ada boleh dibincangkan. Penggunaan pil mencegah kehamilan, coil (intra-uterine device), contraceptive injection, contraceptive implants, contraceptive patch (Evra), adalah di antara teknik yang ada. Kesan sampingannya juga mesti diambil kira, termasuk kegemukan yang boleh berlaku ke atas isteri akibat menggunakannya”, saya memesan.

Sepatutnya saya tidak perlu bercakap tentang hal ini kepada peserta kerana sebahagian besar mereka adalah pelajar perubatan.

Namun apa yang ingin saya tegaskan ialah keperluan mengadakan perbincangan.

Saya sedih melihat pelajar yang berkahwin, terutamanya semasa belajar, apabila mereka dikejutkan dengan berita kehamilan isteri dalam keadaan tidak mempunyai kesediaan mental, lantas mencetuskan pelbagai masalah. Bermula dari stress dan kemurungan, hinggalah membawa kepada masalah kewangan yang serius lagi menjejaskan pelajaran.

Kewangan

Bertitik tolak dari isu tersebut, keperluan mengadakan perbincangan tentang peraturan-peraturan kewangan, wajar dibincangkan sesama bakal suami dan bakal isteri yang bakal mendirikan rumahtangga.

Terutamanya beban di pihak lelaki yang terpaksa menyediakan belanja yang besar dalam urusan perkahwinan. Bincanglah dengan baik untuk berpakat dan mencari penyelesaian. Jika bakal suami mahu dibantu, berpakatlah secara baik dan jaga maruahnya dengan tidak mengaibkan ketidakmampuannya mencapai ketetapan yang diputuskan.

Mengumpul…

Meminjam…

Lakukan dengan berhemah dan bijaksana.

Buku-buku dan panduan oleh Azizi Ali, sangat baik untuk dimanfaatkan.

Komunikasi

“Kebimbangan saya lebih bertumpu kepada peraturan komunikasi antara bakal suami dan isteri. Jangan lupa menumpukan perhatian kepada mempelajari kaedah memahami nature lelaki dan perempuan. Dan saya yakin anda semua sudah tahu, buku apa yang ingin saya cadangkan. Betul tak?”, saya bertanya.

Peserta PUISI 2007 ketawa.

“Saya tidak pernah berasa malu untuk menggesa pasangan yang mahu berumahtangga untuk membaca dan mempraktikkan isi kandungan buku Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray. Saya tidak rasa susut keIslaman diri ini untuk mencadangkan antum membacanya kerana ia adalah panduan sunnatullah, pada mengetahui kaedah berfikir dan berkomunikasi antara suami dan isteri”, saya menyambung.

“Percayalah, sebahagian besar dari pergaduhan dan krisis rumahtangga, berpunca dari masalah komunikasi. Isteri yang kuat berleter, dan suami yang lebih suka membatukan diri, sudah cukup untuk menyalakan neraka yang bakal membinasakan baiti jannati yang dibina itu. Jangan lupa baca artikel saya, CINTA ANTARA PLANET“, saya menyelesaikan topik ini.

DARI IDEALISTIK MENUJU REALISTIK

Akhirnya, jangan lupa untuk berbincang secara baik apakah expectation masing-masing menjelang hari perkahwinan. Jangan pula tiba-tiba pengantin lelaki bersilat pulut menentang pelamin, kerana tidak berbincang dengan baik untuk persediaan diri. Semuanya telah saya perkatakan di dalam artikel BIAR MATI ANAK JANGAN MATI ADAT.

Selamat melangkah ke alam perkahwinan…

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

This entry was posted in Kalam Pena and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s